NURUL Faatihah Md. Hassan (kiri) dan Nur
Ain Syuhada Atam menunjukkan slip keputusan peperiksaan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin,
Kuala Terengganu, semalam. |
KUALA TERENGGANU 10 Mac - Dua anak buruh merupakan antara lima calon
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di negeri ini yang lulus
cemerlang dalam semua pelajaran. Kedua-duanya pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini, Nurul Faatihah Md.
Hassan, 20, dan Nur Ain Syuhada Atam, 20, masing-masing memperoleh
keputusan 4A.
Nurul Faatihah mendapat 4A dalam mata pelajaran
Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan Ekonomi manakala Nur Ain
Syuhada pula lulus cemerlang dalam Pengajian Am, Bahasa Malaysia,
Geografi dan Ekonomi.
Menurut Nurul Faatihah, ketekunan
mengulangkaji pelajaran selama dua jam setiap hari pada setiap malam
membantunya memperoleh keputusan cemerlang itu. "Saya tekun
belajar kerana mahu membuktikan saya mampu mencatat keputusan cemerlang
walaupun tidak menerima sebarang tawaran melanjutkan pelajaran ke
institusi pengajian tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dua tahun lalu. "Saya juga mahu mendapat kerja yang baik kerana tidak mahu keluarga terus hidup susah," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Anak
sulung daripada lapan beradik itu berkata, dia berhasrat melanjutkan
pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi
membolehkannya mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah. Nur
Ain Syuhada pula berkata, dia berusaha keras mendapat keputusan
cemerlang kerana ingin menjadi inspirasi kepada lapan adiknya untuk
berjaya dalam hidup. "Saya belajar seperti biasa dengan memberi
tumpuan dalam kelas dan mengikuti program-program yang diadakan oleh
sekolah dan Jabatan Pelajaran negeri," katanya. Selain mereka
berdua, dua calon SMKA Nurul Ittifaq di Besut, Nor Syamimi Mohd.
memperoleh keputusan 5A dan Nurul Huda Abdullah 4A 1B manakala calon
SMK Tengku Ampuan Intan di Hulu Terengganu, Siti Nabila Huda Rashid
memperoleh 4A. Kosmo Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
 |